SHAH ALAM – Hakim syarie Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari di sini menasihatkan pelakon Farid Kamil dan isterinya, Diana Danielle untuk berdamai bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.
Peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Farid ketika ditemui berkata, Hakim Syarie Shukran Yusof menasihatkan demikian pada sebutan semula kes cerai itu hari ini.
Menurut peguam syarie itu, hakim syarie menyatakan, “benda yang boleh selesai secara baik, cubalah mengislahkan (usaha untuk memperbaiki keadaan).”
Hari ini ditetapkan sebutan kes bagi Farid memaklumkan kepada mahkamah wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang akan mewakilinya.
“Pendengaran di mahkamah hari ini mengenai lantikan wakil JKP yang mana Farid melantik kakaknya. Farid ada cuba pujuk, tetapi Diana macam ‘keras’ sikit (gagal dipujuk).
“Proses JKP akan berlangsung di Pejabat Agama Shah Alam, namun tarikhnya pula akan ditentukan pasangan itu. Seterusnya proses hakam (kalau JKP tidak mencapai persetujuan) dan mahkamah akan menentukannya,” katanya.
Berikutan itu, mahkamah menetapkan 30 Mei ini bagi pihak-pihak mengemukakan laporan JKP berhubung kemelut rumah tangga mereka.
Sementara itu, Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, 32, melantik pengurus bagi mewakili dirinya manakala Farid atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari, 42, pula melantik kakaknya.
Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan terbabit akan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.
Sekiranya JKP tidak dapat menemui jalan penyelesaian atau mendapati berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan), maka Mahkamah Syariah akan melantik hakam yang akan memberi kata putus bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.
Sementara itu, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader ketika ditanya mengenai dakwaan Farid yang mengaitkan wujud ‘pihak ketiga’, peguam itu berkata, dakwaan tersebut hanya alasan.
“Semua itu hanya alasan sahaja. Sebelum ini tidak pernah bangkit pun, tapi selepas fail kes (cerai) baru semua benda ini keluar. Tapi biar mahkamah membuat keputusan,” kata peguam syarie itu.
Dalam pada itu, peguam syarie itu turut memaklumkan, anak guamnya memperoleh perintah hadanah (hak penjagaan anak-anak) secara interim (sementara) daripada Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Jumaat lalu.
“Pihak kami memfailkan hadanah itu pada Khamis dan mahkamah membenarkan permohonan Diana pada Jumaat lalu.
“Namun tiada halangan untuk Farid berjumpa dengan anak-anaknya,” kata peguam syarie itu.
Sebelum ini, Farid dalam prosiding terdahulu, mendakwa dirinya tidak dapat memasuki rumah yang diduduki bersama isterinya sejak awal bulan ini.
Pada tempoh sama, difahamkan Farid juga tidak dapat bertemu dengan anak-anaknya.
Ketika prosiding pada sebelah pagi, Farid membawa sejambak bunga ros sempat menitipkan kata-kata “Bunga ini untuk Diana tanda perdamaian pertama,” katanya ringkas.
Diana sebelum ini mendakwa, tiada persefahaman, berlaku shiqaq selain tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri antara alasannya untuk bercerai.
Permohonan cerai tersebut difailkan Diana pada 10 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Pasangan itu berkahwin pada 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8, – KOSMO! ONLINE.