PUTRAJAYA – Malaysia mengutuk sebarang retorik dan tindakan provokatif yang mencemarkan nama baik agama Islam tidak kira dalam bentuk pidato populis atau penyebaran karikatur menggambarkan Nabi Muhammad S.A.W.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Malaysia sangat peka terhadap permusuhan terbuka yang semakin meningkat terhadap umat Islam buat masa ini.
Beliau berkata, Malaysia juga komited menegakkan kebebasan bersuara dan selama ini, hak asasi manusia ini dilaksanakan dengan penuh hormat dan bertanggungjawab agar tidak melanggar hak orang lain.
“Namun, dalam konteks ini (isu karikatur Charlie Hebdo), untuk menghina dan mencemarkan nama baik Islam dan Nabi Muhammad serta mengaitkan Islam dengan keganasan tentunya berada di luar ruang hak (hak asasi manusia) tersebut.
“Perbuatan seperti itu bersifat provokatif dan tidak menghormati Islam serta lebih daripada dua bilion umat Islam di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, sebagai sebuah negara Islam yang demokratik dan sederhana dengan masyarakat pelbagai etnik dan agama, Malaysia terus mempromosikan dan mengekalkan hubungan yang harmoni dan kedamaian.
Hishammuddin berkata, amalan itu bukan sahaja dilakukan dalam kalangan rakyat yang berlainan agama dan kepercayaan, tetapi juga dalam konteks yang pelbagai dalam komuniti global.
“Malaysia akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi meningkatkan rasa saling menghormati antara agama dan mencegah ekstremisme agama di semua peringkat,” katanya.
Kenyataan ini merujuk kepada isu kontroversi mengaitkan tindakan akhbar mingguan satira Perancis, Charlie Hebdo yang menerbitkan semula kartun yang menghina Nabi Muhammad S.A.W.-K!ONLINE