PELUMBA muda dalam pembikinan, Muhammad Hakim Danish Ramli mencipta sensasi apabila menamatkan perlumbaan 2 Red Bull MotoGP Rookies Cup di Litar Antarabangsa Algarve, Portugal di tempat ketiga.
Bagaimanapun, pelumba berusia 15 tahun itu menyatakan, sasaran awalnya pada penampilan sulung dalam kejuaraan tersebut adalah untuk menaiki podium sebagai pemenang, namun tuah tidak menyebelahinya.
Justeru, dia menjadikan perlumbaan seterusnya yang akan berlangsung di Litar Jerez, Sepanyol bermula 30 April hingga 1 Mei depan sebagai peluang terbaik untuk mencatat kemenangan pertama musim ini.
“Alhamdulillah saya berjaya naik podium buat pertama kalinya walaupun perlumbaan hari ini (kelmarin) agak sengit. Ramai pelumba laju dan kami berlumba dalam kumpulan yang agak besar tetapi saya dapat habiskan perlumbaan di tempat ketiga.
“Memang ada bersaing di pertengahan perlumbaan dan cuba kekalkan kedudukan terbaik, namun saya ke belakang sedikit. Ketika pusingan terakhir, saya cuba untuk tamatkan perlumbaan di podium pertama tetapi belum ada rezeki,” katanya.
Untuk rekod, Keputusan itu menyaksikan Danish berada di tempat keempat dalam senarai kejuaraan mengumpul 27 mata selepas dia turut menamatkan perlumbaan 1 di kedudukan kelima Sabtu lalu.
Seorang lagi pelumba negara yang beraksi dalam Rookies Cup, Danial Syahmi Ahmad Shahril turut mencatat keputusan positif dalam perlumbaan 2 kelmarin apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-10.
Sementara itu, Muhammad Syarifuddin Azman yang beraksi dalam kelas Moto3 pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) tekad untuk memperbaiki tunggangan selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-22.
“Ini adalah perlumbaan pertama saya di kejuaraan dunia, jadi masih banyak perkara yang perlu saya belajar. Saya tidak akan berputus asa, sebaliknya akan berjuang sehingga ke pusingan akhir nanti,” ujar pelumba yang mesra dengan panggilan Damok itu.