PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Raja Kemboja, Raja Norodom Shiamoni di Istana Diraja Kemboja pada lawatan rasminya ke negara berkenaan pada hari ini.
Anwar melalui hantaran di Facebooknya sebentar tadi memaklumkan, pada sesi tersebut, beliau menyampaikan hasrat kerajaan Malaysia untuk terus memperkukuhkan jalinan hubungan kedua-dua negara yang terjalin sejak 66 tahun lalu.
“Saya juga sempat mengadakan kunjungan ke atas Presiden Senat Kemboja, Say Chhum dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja, Heng Samrin selain bertukar-tukar pandangan,” katanya.
Tambahnya, dalam kepadatan jadual beliau turut berkesempatan menyantuni diaspora Malaysia dalam satu majlis di Kedutaan Malaysia di Phnom Penh selain menyampaikan hasrat kerajaan agar kebersamaan dan kesepaduan terus dituntut meski berada di luar negara. – KOSMO! ONLINE