WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) meluluskan penjualan 100 sistem pertahanan pantai Harpoon bernilai AS$2.4 bilion (RM9.9 bilion) kepada Taiwan kelmarin, langkah yang pasti mencetuskan kemarahan Beijing susulan perjanjian penjualan peluru berpandu bernilai AS$1 bilion (RM4.1 bilion) minggu lalu dengan Taipei.
“Cadangan penjualan sistem Harpoon akan membantu meningkatkan keselamatan penerima (Taiwan) dan mengekalkan kestabilan politik, keseimbangan ketenteraan dan kemajuan di rantau tersebut,” kata Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan.
Perjanjian itu melibatkan 100 Sistem Pertahanan Pantai Harpoon (HCDS) termasuk 400 peluru berpandu permukaan ke udara RGM-84L-4 Harpoon Block II dengan jarak maksimum 125 kilometer.
Peluru berpandu buatan syarikat Boeing itu boleh diletakkan di atas platform tetap atau dipasang pada trak.
Taiwan yang mengamalkan sistem demokrasi dan pemerintahan sendiri sentiasa berada di bawah ancaman pencerobohan oleh China. Beijing menganggap pulau itu sebahagian daripada wilayahnya.
China berjanji akan merebut kembali pulau itu dan menggunakan kekerasan jika perlu.
Beijing meningkatkan tekanan diplomatik dan ketenteraan ke atas Taipei sejak Tsai Ing-wen dipilih sebagai Presiden Taiwan pada 2016. Beliau menganggap pulau itu sebagai negara berdaulat dan bukan sebahagian daripada ‘Satu China’.
Jet perang dan pesawat pengebom China semakin kerap memasuki zon pertahanan udara Taiwan sejak beberapa bulan lalu.
Pada Rabu lalu, AS bersetuju menjual 135 peluru berpandu AGM-84H SLAM-ER bernilai AS$1 bilion. – AFP