fbpx

Skuad B-22 akan tampil terbaik pada Sukan SEA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain skuad B-22 Malaysia meraikan kejayaan muncul juara Piala Merlion dengan menewaskan skuad B-22 Hong Kong 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Jalan Besar, Singapura kelmarin.

SIKAP dan kesungguhan pemain sepanjang dua perlawanan Piala Merlion telah memudahkan tugas pengendali skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, E. Elava­rasan untuk melengkapkan senarai terbaik pemain dalam menggalas cabaran pada Sukan SEA Kemboja 2023 yang berlangsung Mei depan.

Kelmarin, skuad negara melakar sejarah muncul juara Piala Merlion buat kali pertama selepas menewaskan skuad B-22 Hong Kong 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Jalan Besar, Singapura, sekali gus kejayaan tersebut melengkapkan objektif penyertaan.

“Ini adalah kejohanan yang kita sasarkan untuk muncul juara. Sudah tentu 80 hingga 90 peratus kita sudah boleh nampak bayangan kerana pemain mampu bermain dalam liga yang tinggi.

“Sasaran kita juga tinggi pada Sukan SEA dan dan saya harap pemain dapat mengekalkan corak permainan seperti ini secara lebih konsisten,” katanya.

Pada aksi final kelmarin, ke­dua-dua gol skuad B-22 negara dihasilkan masing-masing oleh Najmudin Akmal Kamal dan Safwan Mazlan, manakala jaringan sagu hati Hong Kong dijaringkan oleh Lau Ka Kiu.

Mengulas lanjut, Elavarasan mengakui beliau cukup berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan oleh anak-anak buah­nya sepanjang dua perlawanan pada Piala Merlion kali ini dan berharap setiap pemain kekal dengan kemahuan sama apabila kembali ke kelab masing-masing.

“Paling penting adalah pemain memberikan yang terbaik serta menunjukkan komitmen dan ia menjadi satu faktor kemenangan kita.

“Semua pemain dapat ikut apa yang kita mahukan dan saya harap mereka akan kekal cergas apabila dipanggil semula untuk kempen Sukan SEA Kemboja nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI