LONDON – Penduduk kota London yang berang dengan pemasangan kamera pengesanan Zon Pelepasan Ultra Rendah (ULEZ) di jalan raya bertindak menutup peranti tersebut menggunakan kotak dan beg beli-belah, lapor akhbar Daily Mirror semalam.
Kamera ULEZ merakam imej nombor pendaftaran kenderaan bagi mencari maklumat untuk menentukan jenis pelepasan karbon yang dihasilkan kenderaan tersebut.
Kamera tersebut turut memeriksa kekerapan pemandu memasuki kawasan ULEZ serta waktu memasukinya bagi menentukan jumlah bayaran yang dikenakan.
Kira-kira 700,000 pemandu bakal dikenakan bayaran harian sebanyak £12.50 (RM67.70) apabila ULEZ diperluaskan pada musim panas kali ini.
Langkah kontroversi itu pada dasarnya akan meliputi keseluruhan London dan akan diperkenalkan pada 29 Ogos ini.
Datuk Bandar London, Sadiq Khan menerima kecaman hebat kerana melaksanakan idea tersebut yang dijangka mampu menjana pendapatan tambahan kira-kira £93.6 juta (RM507 juta) dalam lapan bulan pertama levi itu beroperasi.
Sadiq ketika menjelaskan perluasan rancangan itu berkata, udara bertoksik menyebabkan kematian pramatang sebanyak 4,000 penduduk London setiap tahun.
Orang awam sebaliknya menuduh pemasangan kamera ULEZ bertujuan untuk meningkatkan pendapatan kerajaan. Ia bakal diperluaskan ke kawasan-kawasan lain kelak.
Berang dengan tindakan tersebut, sekumpulan penduduk mempamerkan protes mereka dengan meletakkan pelbagai barangan pada kamera Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik.
Gambar-gambar aksi protes tersebut tular di media sosial dengan pengguna melahirkan sokongan mereka terhadap tindakan berkenaan.
“Saya amat menyukai tindakan penduduk London yang menutup kamera ‘perompak wang’, ULEZ menggunakan kotak dan beg,” kata seorang pengguna.
“Hebat sekali! (Kerajaan) mengenakan cukai kepada penduduk miskin sekali lagi. Ramai orang (terutamanya warga emas) akan hidup terasing. Rakyat cuba mencari rezeki dengan gaji yang tidak seberapa. Amat keterlaluan,” ujar seorang pengguna media sosial lain. – Agensi