MEKAH – Kementerian Haji dan Umrah menyeru pengunjung dua masjid suci menghormati kesucian lokasi tersebut dan berpegang teguh pada akhlak yang baik ketika mahu merakam gambar, lapor akhbar Saudi Gazette semalam.
Tambah kementerian berkenaan, pengunjung tidak seharusnya asyik bergambar, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada ibadah mereka.
Antara yang turut diminta oleh kementerian sama adalah jemaah tidak seharusnya memaparkan wajah individu lain dalam gambar peribadi tanpa kebenaran mereka.
Jemaah juga perlu mengelak daripada berhenti semata-mata untuk merakam gambar sehingga menyebabkan berlakunya kesesakan.
Dalam pada itu, Presidensi Umum bagi Dua Masjid Suci turut menganjurkan lawatan turun padang bagi memastikan sistem perkhidmatan yang disediakan kepada pengunjung berada dalam keadaan baik. – Agensi