fbpx

Naik bas 12,000 kilometer rentas 22 negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bus to London bakal memulakan perjalanan pada 7 Ogos depan dan berakhir pada 1 Oktober. - Adventures Overland

NEW DELHI –  Sebuah syarikat ekspedisi dari India, Adventures Overland bakal melancarkan perkhidmatan digelar ‘perjalanan bas paling jauh di dunia’ yang menawarkan laluan dari Istanbul ke London, lapor stesen penyiaran CNN.

Dijadual  bertolak pada 7 Ogos tahun ini, bas berkenaan menawarkan trip selama 56 hari kepada 30 penumpang. Mereka akan merentasi 22 negara bermula dari Istanbul merentasi  rantau Balkan, Eropah Timur, Scandinavia dan Eropah Barat sebelum berakhir di ibu kota Britain.

Antara pengembaraan sejauh 12,000 kilometer yang menanti penumpang adalah perjalanan menaiki feri ke Teluk Finland, lawatan ke North Cape yang merupakan lokasi paling utara di Benua Eropah serta pelayaran sepanjang Fjords Norway.

Pakej keseluruhan berharga AS$24,300 (RM107,671) itu termasuk sarapan harian di samping 30 makan tengah hari dan makan malam serta penginapan di hotel.

Meskipun  menaiki bas tidak menjadi pilihan sebilangan orang,  perkhidmatan dinamakan Bus to London itu menggunakan bas mewah yang direka untuk perjalanan selesa dan jarak jauh.

Penumpang boleh berehat di tempat duduk boleh laras dengan ruang kaki yang luas sambil menggunakan port AUX serta USB, dulang boleh lipat serta pemegang cawan dan botol. Setiap penumpang juga dibenarkan membawa dua beg pakaian bersaiz penuh bersama mereka.

“Laluan di setiap negara telah disemak untuk memastikan perjalanan  lancar supaya peserta Bus to London boleh menaiki kenderaan ini dengan perasaan yakin dan selamat.

“Kami juga bertanggungjawab menguruskan semua urusan dokumentasi, kertas kerja, visa dan permit bagi memastikan fokus penumpang hanya ditumpukan kepada menikmati pengalaman perjalanan,” kata pengasas Adventures Overland, Tushar Agarwal.

Menurut Guinness World Records, rekod semasa bagi laluan bas terjauh di dunia adalah 6,200 km yang menghubungkan Lima di Peru ke Rio de Janeiro, Brazil. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI