LONDON – Antonio Conte akhirnya dilepaskan daripada tugasnya sebagai pengurus Tottenham Hotspur selepas 16 bulan membimbing pasukan berkenaan.
Pengendali berusia 53 tahun itu dilantik menjadi pengurus pasukan berkenaan pada November 2021 selepas pemecatan Nuno Espirito Santo, namun kritikan yang dilemparkan terhadap pengurusan dan pemain menyaksikan tugasnya bersama kelab itu menemui noktah.
Conte sebelum ini dilaporkan berang ketika Spurs sekadar mencatat keputusan seri 3-3 ketika menentang Southampton menyebabkan beliau menuduh bahawa pemain dan kelab itu tidak memiliki keinginan untuk berjaya.
Ekoran kritikan keras tersebut dalam sidang media selepas perlawanan, beberapa pemain telah mengadakan komplot untuk mendesak pihak pengurusan kelab memecat Conte dalam tempoh cuti rehat antarabangsa dan rancangan tersebut dilihat berkesan.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kelab menyebut bahawa, kedua-dua pihak telah menemui kata sepakat untuk berpisah dan mereka mengucapkan terima kasih atas jasa yang telah dicurahkan oleh Conte sepanjang mengemudi Spurs.
Pengerusi Spurs, Daniel Levy memberikan komen mengenai situasi berkenaan dan menyeru para pemain terus memberikan fokus pada baki perlawanan.
“Kami masih mempunyai 10 baki Liga Perdana Inggeris dan perlu berjuang untuk mendapatkan slot Liga Juara-Juara. Kami harus terus kekalkan kesepakatan dan kerjasama.
“Semua pihak harus memastikan kami mampu mengakhiri musim ini di kedudukan paling tinggi untuk kelab ini dan sudah pastinya untuk para penyokong,” katanya.
Sepanjang ketiadaan Conte, Cristian Stellini akan bertindak sebagai pengurus sementara sehingga kempen musim ini berakhir, sementara bekas pemain tengah pasukan itu, Ryan Mason akan bertindak sebagai pembantu. – AGENSI