LUXEMBOURG CITY – Penggempur sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo sekali lagi membuktikan dirinya masih relevan beraksi di pentas tertinggi biarpun sudah berusia 38 tahun.
Ketua Jurulatih Portugal, Roberto Martinez mengakui perkara itu selepas menyaksikan Ronaldo meledak dua gol ketika membelasah Luxembourg 6-0 pada aksi kelayakan Euro 2024 awal pagi semalam.
Martinez, 50, tanpa berselindung menjelaskan kecemerlangan ditunjukkan Ronaldo membuktikan keputusannya menyenaraikan bintang Al Nassr itu tepat biarpun dikritik hebat sebelum ini.
“Cristiano (Ronaldo) adalah pemain unik di dunia dengan jumlah penampilan terbanyak di pentas antarabangsa. Pengalamannya amat penting dalam bilik persalinan.
“Sebenarnya semua pemain mempunyai peranan penting. Pemain muda kerana kesediaan mereka untuk beraksi, tetapi Ronaldo, Rui Patricio dan Bernardo Silva membawa pengalaman dan ia melengkapkan bilik persalinan,” kata Martinez.
Ini adalah kali kedua berturut-turut Ronaldo berjaya meledak dua gol dalam satu perlawanan selepas melakukannya ketika menang 4-0 ke atas Liechtenstein tiga hari lalu.
Dalam aksi di Stade de Luxembourg awal pagi semalam, empat lagi gol Portugal dijaringkan oleh Joao Felix, Bernardo Silva, Otavio dan Rafael Leao.
Kemenangan itu membolehkan Portugal mendahului carta Kumpulan J dengan enam mata, dua mata mengatasi pasukan di tangga kedua, Slovakia yang menang 2-0 ke atas Bosnia. – AGENSI