fbpx

Main mercun usah sampai jadi orang pertama putus jari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Sehingga petang semalam, tiada lagi kes putus jari, tangan hancur dan buta mata akibat terkena letupan mercun dilaporkan di seluruh negara.

Ketika ini, mereka sedang berseronok bermain mercun dan bunga api sehingga bunyi dentuman kuat ada kalanya membuatkan jemaah masjid atau surau yang sedang bersolat sepanjang Ramadan terganggu.

Setakat ini juga, mereka masih ‘terselamat’ dalam sebarang tragedi berdarah, namun hari ini, belum seminggu lagi umat Islam berpuasa. Kes putus jari kebiasaannya akan berlaku setiap tahun, bezanya sama ada melibatkan ramai mangsa atau tidak.

Pada tahun ini, penjualan bunga api pelbagai jenis nampaknya semakin meriah berbanding tahun-tahun sebelum ini. Selain bunga api, ada juga mercun yang dijual sorok-sorok.

Pada malam pertama solat tarawih lagi, jualan bunga api di kaki-kaki lima lot perniagaan dan tepi jalan sudah bermula di kebanyakan kawasan.

Kelibat anak-anak muda membuka meja lipat untuk menjual bunga api sudah kelihatan, seolah-olah masing-masing sedang ‘menguasai’ tempat perniagaan tersebut.

Itu belum lagi jualan bunga api dan mercun secara online sahaja atau melalui ‘kawan-kawan’ sepejabat atau sekampung.

Memang kerajaan kini membenarkan penjualan 45 jenis bunga api dan mercun yang telah disahkan selamat oleh pihak berkuasa untuk diimport, disimpan dan dijual ketika musim perayaan sahaja.

Penjualannya pula hanya boleh dilaksanakan oleh syarikat-syarikat berkelayakan. Cuma yang ditakuti, ada peniaga lain yang terus menjual mercun yang dilarang dan berbahaya.

Lagipun anak-anak muda Malaysia sangat kreatif dalam kerja-kerja pengubahsuaian. Motosikal berkuasa kecil, boleh menjadi berkuasa besar dan kereta Proton Waja misalnya boleh ditransformasikan menjadi kereta ‘Wajalution’.

Begitu juga bunga api dan mercun. Belerang bunga api dibuat mercun dengan menggunakan pelbagai bahan, manakala mercun pula diubah suai untuk menghasilkan letupan lebih kuat seolah-olah mahu ‘menggegarkan’ satu kawasan.

Natijahnya, jari hilang, tangan hancur atau mata buta akibat mercun buatan sendiri. Keseronokan meraikan kedatangan hari raya dengan bermain mercun dan bunga api, kononnya hanya setahun sekali akhirnya menyesal seumur hidup.

Tahun ini, kita lihat siapa pula mangsa letupan mercun yang pertama, kedua, ketiga dan seterusnya.

Bukan ingin mendoakan kecelakaan orang lain, sebaiknya sebagai kata-kata sindiran kepada mereka yang masih berdegil bermain mercun terutama buatan sendiri supaya meninggalkan aktiviti yang berbahaya itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI