LONDON – Pengurus England, Gareth Southgate merasakan anak buahnya tidak boleh berasa selesa selepas memastikan kemenangan 2-0 ke atas Ukraine pada perlawanan kedua Kumpulan C kelayakan Euro 2024 di Wembley, awal pagi semalam.
Walaupun keputusan itu melengkapkan permulaan sempurna buat The Three Lions, Southgate segera memberi ingatan kepada para pemain bahawa mereka harus sentiasa dahagakan kejayaan untuk hadapi aksi berikutnya yang dijadualkan berlangsung Jun nanti.
“Saya merasakan semua orang mahu berada di sini dan jadi sebahagian daripada pasukan. Secara psikologinya, jika kami menganggap lawan selepas ini tidak sebagus dua pasukan pada perlawanan lepas (Itali dan Ukraine), kami pasti akan berdepan masalah.
“Kami mencabar diri sendiri untuk jadi yang terbaik di Eropah dalam tempoh 13 bulan akan datang. Ia memerlukan komitmen daripada semua orang dan itu memerlukan latihan pada tahap tertinggi,” katanya.
Sebelum ini, England menamatkan penantian 62 tahun untuk meraih kemenangan ke atas Itali di gelanggang lawan dan awal pagi semalam Harry Kane serta Bukayo Saka terus cemerlang dengan menyumbangkan kedua-dua gol The Three Lions.
Bagaimanapun, Southgate jelas gembira dengan kualiti dipamerkan Saka yang meraih jaringan kelapan bersama England dan menyifatkan mentaliti bintang Arsenal itu sedang berada pada kemuncak.
“Apabila berada di depan gol, dia jelas memiliki keyakinan dan saya fikir ia adalah perubahan mentaliti, seiring dengan kualitinya dalam hal teknikal. Dia tahu untuk menjadi pemain terbaik iaitu cuba jaringkan gol dan cipta bantuan jaringan. – AGENSI