KUALA TERENGGANU – Sijil pentauliahan untuk penceramah agama tertakluk dalam bidang kuasa negeri dan tiada keperluan untuk diselaraskan atau diseragamkan buat masa ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, setakat ini, urusan agama termasuk pentauliahan mengajar masih mampu diuruskan dengan baik oleh negeri-negeri tanpa sebarang masalah.
Menurutnya, pelaksanaan undang-undang antara Islam di negara ini pada ketika ini mempunyai persamaan antara 98 hingga 99 peratus.
“Semuanya adalah sama kecuali seksyen berbeza termasuk istilah perkataan tertentu sahaja,” katanya di sini hari ini.
Shaikh Harun berkata, larangan hanya kepada pemimpin dan aktivis politik di Terengganu agar tidak menggunakan masjid serta surau bertujuan mengelakkan perpecahan dalam kalangan penduduk tempatan.
“Kita tidak menghalang untuk menyebarkan syiar Islam namun tidak mahu masjid dan surau dijadikan gelanggang politik kepartian.
“Kadang-kadang orang politik ini apabila diberi peluang sejengkal jadi sedepa (berlebihan), sebab itu kena ada tauliah untuk mengajar di masjid dan surau,” katanya.
Penceramah bebas, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani sebelum ini dipetik sebagai mencadangkan agar tauliah mengajar diselaraskan di semua negeri kerana bimbang ia akan menjadi punca perpecahan umat Islam di negara ini. – KOSMO! ONLINE