PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan lawatan rasmi sehari ke Kemboja bagi memperkukuhkan lagi hubungan serta kerjasama antara kedua-dua negara yang telah terjalin sejak 1957.
Anwar melalui hantaran di Facebooknya hari ini berkata, lawatan rasmi dan sulung beliau ke negara itu merupakan undangan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.
“Moga lawatan ini akan dapat memperkukuh hubungan antara dua negara yang terjalin sejak 66 tahun lalu selain membincangkan isu-isu serta kerjasama dua hala yang berkepentingan secara bersama. Insha-Allah,” katanya hari ini.
Terdahulu, ketibaan Anwar di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh pagi tadi disambut Menteri Kanan Tugas-Tugas Khas Kemboja bagi Hal Ehwal Islam Datuk Dr Othsman Hassan selaku Menteri Pengiring mewakili kerajaan Kemboja.
Turut mengiuringi Anwar pada lawatan tersebut, Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar.
Dalam rangka lawatan tersebut, Perdana Menteri dijadual mengadakan kunjungan menghadap ke atas Raja Kemboja, Raja Norodom Sihamoni.
Anwar juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Hun Sen, membincangkan peluasan kerjasama itu demi mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-Kemboja yang telah lama terjalin serta mengadakan bertemu bersama Presiden Senat dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja. – KOSMO! ONLINE