RANTAU PANJANG – Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan menyeludup sebanyak 441,120 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM541,749 termasuk cukai dalam serbuan di sebuah rumah dan stor di Kuala Krai dekat sini, minggu lalu.
Pasukan Operasi Cawangan Penguat Kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Rantau Panjang menjalankan serbuan kedua-dua lokasi itu kira-kira pukul 11 pagi pada 20 Mac lalu.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, anggota penguat kuasa JKDM telah membuat intipan sebelum menjalankan serbuan di rumah tersebut.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam rumah dan stor berhampiran kediaman itu menemui sebanyak 441,120 batang rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM174,300 tanpa kiraan cukai.
“Suspek berusia dalam lingkungan 40-an yang dipercayai pemilik rumah tersebut ditahan untuk siasatan lanjut. Selain rokok, dua buah kereta yang berada di rumah itu turut disita.
“Pemeriksaan mendapati, kesemua rokok seludup itu dianggarkan bernilai RM541,749 termasuk kiraan cukai,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Penguat Kuasa JKDM Rantau Panjang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Jamal Abdul Salam menberitahu, hasil siasatan lanjut, kesemua rokok-rokok itu disyaki dibawa dari sebuah negeri di selatan tanah air sebelum ia disimpan di rumah tersebut.
Menurutnya, rokok-rokok tersebut dipercayai akan diedarkan untuk pasaran di Kelantan.
“Sehubungan itu, orang ramai perlu membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan selain tidak terlibat dengan aktiviti tersebut,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE