PETALING JAYA – Kerajaan diminta untuk kekal bertegas menjaga caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk memastikan simpanan pencarum mampu digunakan untuk hari tua nanti.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani menegaskan bahawa caruman KWSP adalah untuk simpanan hari tua dan tuntutan untuk pengeluaran kali kelima tidak wajar dalam keadaan semasa.
Jelasnya, tindakan pihak-pihak tertentu yang mendesak pengeluaran KWSP buat kali kelima selepas i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas merupakan tindakan jangka pendek untuk mendapatkan sokongan rakyat.
“Desakan dibuat oleh mereka tanpa memikirkan kesannya terhadap masa depan pekerja selepas bersara serta pembangunan ekonomi negara.
“Keputusan ini juga tidak mengikut Rancangan Tindakan Kebangsaan bagi Warga Emas (RTKWE) yang bertujuan untuk memperkukuhkan sistem perlindungan sosial bagi warga emas, KWSP adalah salah satu perlindungan yang terbaik untuk warga emas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya lagi, fakta bahawa seramai 6.7 juta pencarum berusia bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang RM10,000 hendaklah diberi perhatian serius dan golongan ini perlu dibantu agar tidak terbeban di hari tua.
“Kerajaan sewajarnya memikirkan inisiatif lain untuk membantu golongan pekerja dan bukannya membenarkan pengeluaran KWSP.
“MTUC berpendirian bahawa semua pihak perlu bergerak ke hadapan untuk membangunkan ekonomi negara dan bukannya bertindak demi kepentingan tertentu.
“Kerajaan juga disaran mengkaji pelaksanaan elaun kos sara hidup dan pencen bagi pekerja sektor swasta bagi mengurangkan belanja sara hidup, dan paling penting memastikan rakyat mempunyai mekanisme gaji progresif yang mengambil kira upah untuk sara hidup (living wage),” cadangnya. – KOSMO! ONLINE