KUALA LUMPUR – Bagi meningkatkan pengeluaran getah dan memenuhi keperluan industri hiliran berasaskan lateks, kerajaan giat mempertingkatkan promosi produk getah menerusi pelbagai dasar dan polisi.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching berkata, salah satunya adalah dengan memperkenalkan Dasar Bahan, Barangan dan Perkhidmatan Tempatan Dalam Perolehan Kerajaan berkuat kuasa 29 November 2022.
Jelasnya, pengenalan dasar ini bukan sahaja bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan industri tempatan melalui penggunaan bahan tempatan, malah dapat membantu peningkatan harga bahan mentah termasuk getah asli hasil dari permintaan domestik yang meningkat.
“Kementerian melalui agensi Majlis Getah Malaysia (MRC) sentiasa aktif dalam merangka dan melaksanakan aktiviti promosi untuk meningkatkan eksport produk getah bernilai tinggi seperti sarung tangan getah, tayar, tilam lateks, dan galas getah seismik (tahan gempa bumi) untuk meningkatkan nilai eksport produk getah negara.
“Produk-produk tersebut dipromosikan melalui aktiviti- aktiviti promosi di luar negara seperti pameran perdagangan antarabangsa, misi perdagangan dan padanan perniagaan, seminar pendidikan serta pengiklanan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang meminta kerajaan menyatakan langkah yang diambil
Kementerian dalam mengurus isu harga lantai getah yang membebankan pekebun getah.
Tambah Siti Aminah, aktiviti promosi ini bukan sahaja merangkumi pasaran utama seperti Amerika Syarikat dan Eropah, malah turut meliputi negara-negara berpopulasi tinggi dan berpotensi besar seperti China, India, Indonesia, Vietnam, Mexico, Brazil, Russia, Afrika Selatan, Colombia, Poland, Filipina, Pakistan dan Turki.
“Melalui inisiatif dan promosi yang dilaksanakan ini dapat meningkatkan permintaan getah asli tempatan dan seterusnya mendorong peningkatan harga lantai getah.
“Ini akan memberi pendapatan yang lebih baik kepada pekebun kecil di luar bandar,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE