fbpx

Jadi suami, Aizat Amdan terkesan cabaran ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIDAK malu mengaku berdepan cabaran ekonomi ketika ini, Aizat Amdan berkata, sudah tiba masanya untuk semua orang melatih diri bijak dalam berbelanja.

PETALING JAYA – Selepas tujuh bulan berumah tangga, penyanyi Aizat Amdan melahirkan rasa teruja apabila kali pertama menyambut Ramadan sebagai seorang suami pada tahun ini.

Lebih membuatkan Aizat atau nama lengkapnya Muhammad Aizat Amdan teruja apabila dia bersama isterinya, Elyssa Alia Ilias juga sudah berpindah dan menyambut bulan puasa di rumah baharu.

Bagaimanapun, ujar penyanyi berusia 34 tahun itu, dia mengakui berdepan cabaran dari segi ekonomi kerana perlu mengeluarkan sejumlah perbelanjaan besar untuk menyediakan segala kelengkapan di kediaman baharunya itu.

“Alhamdulillah tahun ini merupakan kali pertama saya menyambut Ramadan sebagai seorang suami. Saya dan isteri juga sudah berpindah ke rumah baharu. Tiada apa yang berbeza selain akaun bank saya sahaja,” katanya kepada Kosmo! Online.

Kata Aizat, dia tidak segan untuk bercerita tentang situasi ekonomi sekarang kerana percaya ramai lagi pihak lain yang turut terkesan dengan perkara tersebut.

Ujar pelantun lagu Hanya Kita Dua itu, dia mengakui terasa dengan keadaan ekonomi sekarang, lebih-lebih lagi selepas bergelar seorang suami.

“Saya bukan hidup seorang (ada isteri). Tipulah kalau cakap tak terasa dengan ekonomi sekarang. Ramai yang bercakap dan berbincang tentang perkara itu (ekonomi) hari ini.

“Sebab realitinya memang terkesan. Saya rasa tidak perlu malu untuk bercakap tentang perkara itu kerana apa yang paling penting, kita kena tahu bagaimana cara untuk berdepan dengan situasi mencabar itu,” katanya.

Tambah Aizat, dalam berdepan dengan cabaran ekonomi hari ini, masyarakat perlu melatih diri untuk menjadi kreatif (bijak) dalam berbelanja.

“Saya rasa sekarang adalah waktunya untuk semua orang menjadi kreatif dalam berbelanja. Sejak dahulu lagi, saya rancang perbelanjaan.

“Kalau kita ada disiplin, semuanya akan okey. Sebelum berkahwin lagi saya sudah merancang perbelanjaan. Jadi perkara itu sudah menjadi rutin selepas berkahwin,” katanya

Dalam pada itu, ketika disoal tentang cahaya mata, Aizat turut memberitahu dia bersama isterinya juga membuat perancangan untuk menimang zuriat atas faktor ekonomi.

Namun mereka tidak menolak jika diberikan rezeki lebih awal untuk dikurniakan cahaya mata.

“Saya rasa kena ada perancangan juga untuk menimang cahaya mata. Tapi kalau ada rezeki awal, kami tidak menolak.

“Teringin juga untuk ada anak sendiri kalau ada rezeki,” kata Aizat ketika ditemui di majlis pelancaran lagu raya, Janji Happy, baru-baru ini.

Untuk rekod, Aizat mendirikan rumah tangga bersama Elyssa yang juga merupakan pengurusnya pada 14 Ogos tahun lalu di Puchong. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI