fbpx

Lelaki selamatkan anak dikhuatiri lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta Perodua Myvi milik seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas menyelamatkan anaknya. - Foto IVAN AMIRUL

PUTATAN – Ekoran menyelamatkan anak lelaki berusia lima tahun, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas kereta miliknya terjatuh di dalam sungai Kampung Imbahan semalam.

Mangsa, Lasibi Lawahidu, 40-an, dikatakan terjun ke dalam sungai berkenaan sejurus kereta jenis Perodua Myvi yang terdapat anaknya, Mushab Umair Lasibi, 5, secara tiba-tiba bergerak lalu terjatuh ke dalam sungai dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, mangsa difahamkan berada di tebing sebelum kejadian dan sedang memancing.

“Anak mangsa pula berada di dalam kereta terbabit dengan keadaan enjin dihidupkan dan diletakkan di kawasan berhampiran.

“Bagaimanapun, kereta itu dikatakan tiba-tiba bergerak sebelum jatuh ke dalam sungai.

“Mangsa kemudiannya bertindak terjun untuk menyelamatkan anaknya yang masih berada di dalam kenderaan terbabit.

“Mangsa dikatakan sempat mengeluarkan anaknya daripada kenderaan itu sebelum dibantu seorang lelaki yang kebetulan berada di situ untuk memancing.

“Namun mangsa dikatakan tiba-tiba hilang dipercayai tenggelam ketika lelaki berkenaan menyambut kanak-kanak itu,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Rony Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 5.53 petang.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut disertai anggota daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Kota Kinabalu.

“Setakat ini pukul 11 malam tadi, mangsa masih belum ditemui dan operasi masih dijalankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI