PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang berlaku di dua negeri pagi ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya di Facebook berkata, keadaan cuaca buruk itu melibatkan beberapa daerah di Perak.
“Antaranya adalah Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak dan Batang Padang.
“Selain itu, di Johor pula, turut berisiko melanda Mersing dan Kota Tinggi pagi ini,” katanya.
Sehubungan itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir bagi dua negeri tersebut berkuat kuasa sehingga pukul 10 pagi nanti.
Katanya, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE