PONTIAN – Seorang peniaga air jus tidak menyangka senyuman dilemparkan bapanya kelmarin menjadi kenangan terakhir sebelum warga emas itu maut dalam nahas di Kilometer 6.1, Jalan Parit Sikom-Parit Panjang dekat Kampung Parit Mokhayat di sini.
Hairul Zambri Rizal Pungut, 35, berkata, sebelum kejadian, arwah bapanya, Pungut Samuri, 66, keluar dari gerai mereka di Parit Panjang pada pukul 3 petang untuk mengambil daun jagung Pekan Parit Sikom.
“Ayah pandang saya sambil tersenyum selama beberapa saat sebelum keluar.
“Sejam kemudian, saya diberitahu seorang rakan mengenai kejadian kemalangan yang menimpa ayah lalu bergegas ke lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut Hairul Zambri, setibanya di lokasi nahas, dia melihat keadaan van jenis Nissan Vanette yang dinaiki bapanya remuk, manakala sebuah lori muatan ayam terbalik.
Luluh hati lelaki itu apabila melihat jasad bapanya yang terbujur kaku ditutup dengan kain oleh anggota bomba.
“Saya reda dengan ketentuan Ilahi, memang rutin hariannya ke pekan bagi mendapatkan daun jagung untuk diberi makan lembu peliharaannya,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 4.45 petang kelmarin, arwah Pungut maut selepas van yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori.
Siasatan awal mendapati, nahas dipercayai berlaku apabila lori dari arah Parit Panjang menghala ke Parit Sikom terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan van mangsa.
Mangsa yang cedera di badan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori berusia 53 tahun cedera di tangan dan kaki.
Tambah Hairul Zambri, dia dan arwah bapanya sudah enam tahun menjual minuman jus buah-buahan di gerai tersebut.
Jenazah Pungut dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi, pada pukul 10 pagi semalam.