JAKARTA – Seorang wanita di Indonesia nekad meminta cerai apabila mendapat tahu bahawa suaminya adalah seorang lelaki homoseksual selepas mereka berkahwin, lapor portal berita Wolipop hari ini.
Wanita berasal dari Madiun, Jawa Timur itu menceritakan perkara tersebut dalam akaun TikTok @Inissial R.
Video berdurasi 18 saat itu memaparkan majlis perkahwinan mereka sebelum menunjukkan gambar ketika wanita itu berada di Mahkamah Agama untuk proses perceraian.
Menurut wanita tersebut, suaminya telah memfailkan rayuan kerana enggan bercerai.
Wolipop kemudian menghubungi pemilik akaun tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Dira (bukan nama sebenar) dan berusia 29 tahun.
Menurut Dira, dia terkejut apabila mendapat tahu bahawa suaminya seorang gay setelah membaca pesanan ringkas dalam telefon bimbit lelaki itu dengan bekas teman lelakinya.
“Bekas teman lelakinya mengaku mereka menjalinkan hubungan sejak 2018. Mesej itu mengandungi kenyataan seolah-oleh seseorang telah ditinggalkan kekasihnya,” kata Dira.
Tambah Dira, lebih menyakitkan hati adalah apabila dia mendapat tahu tentang orientasi seksual suaminya ketika baru sahaja disahkan hamil dua minggu.
“Apabila mengetahui semua bukti, saya keguguran akibat tertekan kerana tidak tidur selama dua minggu,” tambahnya.
Kata Dira, dia berkenalan dengan suaminya di laman Instagram pada November 2020 dan berkahwin pada Mac 2021.
Selepas kejadian tersebut, Dira mengakui tidak dapat lagi membuka hatinya untuk mana-mana lelaki dan trauma disebabkan kejadian dengan bekas suaminya. – Agensi