BERDASARKAN laporan Indeks Harga Pengguna Malaysia Februari 2023 oleh Jabatan Perangkaan Jumaat lalu, peningkatan inflasi di Malaysia terus dipacu kenaikan dalam segmen Restoran & Hotel iaitu sebanyak 7.4 peratus dan Makanan & Minuman Bukan Alkohol pada tujuh peratus.
Prihatin dengan kenaikan kos sara hidup terutamanya melibatkan kos makanan, Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (Adabi) memfokuskan kepada pengeluaran produk pes masakan bagi membantu pengguna memasak di rumah.
Presidennya, Adrian Roslan berkata, pelancaran produk pes masakan baharu semakin menjadi trend, bermula tahun lalu.
“Untuk berjimat, daripada berbelanja di kedai makan lebih baik memasak sendiri di rumah, namun bukan semua orang pandai memasak, selain itu memasak ini kadangkala memakan masa.
“Sebagai pemain dalam industri makanan dan minuman (F&B), adalah menjadi tanggungjawab kami untuk mengeluarkan produk yang memenuhi keperluan masyarakat,” katanya kepada pemberita sewaktu melawat ibu pejabat Media Mulia Sdn. Bhd. di Petaling Jaya, Isnin lalu.
Pada masa sama, Adrian turut bercerita tentang perkembangan terkini perniagaan Adabi serta sasaran yang ingin dicapai syarikat tahun ini.
KOSMO!: Apa penawaran terbaharu oleh Adabi?
Adrian: Kami baru memulakan kerjasama dengan rangkaian kedai serbaneka emart24 bagi menawarkan enam menu baharu yang dinamakan sebagai Sajian Daebak untuk tempoh terhad selama dua bulan, bermula 17 Mac hingga 17 Mei ini.
Penawaran di 33 rangkaian emart24 ini memanfaatkan pangkalan pelanggan kedua-dua belah pihak, serta disasarkan untuk kemudahan berbuka puasa dan pelanggan yang sentiasa bergerak kerana premis mereka memfokuskan kepada kawasan tumpuan ramai seperti pejabat dan pusat beli belah.
Meskipun menggunakan produk Adabi, produk penjenamaan bersama ini memberikan rasa yang berlainan berbanding produk kami yang dimasak pengguna di rumah kerana ia melalui beberapa siri kajian dan pembangunan bagi memberikan rasa terbaik.
Kami tidak memiliki sebarang sasaran spesifik bagi kerjasama ini kerana kolaborasi sebegini merupakan sesuatu yang baharu untuk Adabi. Selepas dua bulan ia akan dinilai semula sama ada untuk diteruskan atau diperluaskan lagi.
Pada masa sama, kami memang berminat untuk membentuk kerjasama yang lebih kurang serupa dengan pihak lain, termasuk pengendali pasar raya.
Adakah kenaikan kos bahan mentah mempengaruhi harga jualan Adabi ketika ini?
Pengeluar makanan sememangnya tidak dapat lari daripada menaikkan harga kerana kos pembungkusan, yang tidak naik sepanjang pandemik telah melonjak tahun lalu. Harga botol kaca misalnya, naik antara 30 dan 40 peratus, manakala tin makanan juga naik 40 hingga 50 peratus.
Kos bahan mentah, kos operasi yang melibatkan gaji pekerja dan kos elektrik juga naik.
Sekiranya tidak menaikkan harga, pengeluar akan berdepan isu aliran tunai, namun kami cuba kawal kenaikan ini dengan memberikan promosi, misalnya beli tiga pada harga promosi supaya pengguna tidak begitu terkesan.
Pada masa sama, kami sedar kedudukan ekonomi pengguna ketika ini, jadi bermula tahun lalu dan 2023 kami memfokuskan kepada pengeluaran pes masakan bagi membantu pengguna yang ingin menjimatkan kos dan masa untuk memasak di rumah.
Apa produk baharu Adabi tahun ini?
Tahun ini kami telah memperkenalkan pes masak lemak cili padi, masak merah dan berlado selain serbuk telur masin yang dilancarkan pada Disember tahun lalu.
Pes masakan merupakan trend sekarang kerana ia cepat dan memudahkan. Sebelum ini pelanggan memilih produk sedia dimakan dalam tin, namun disebabkan peningkatan kos, ramai yang beralih kembali kepada penggunaan pes masakan dan kami faham tanggungjawab untuk menyediakan produk yang memenuhi keperluan semasa.
Kami ada 10 produk lagi yang sedia untuk dikeluarkan, namun ia akan dilancarkan selepas raya, pasaran sekarang pun tidak bersedia menerima kehadiran produk baharu.
Apa sasaran syarikat untuk 2023?
Kami menyasarkan untuk mencapai jualan bernilai RM1 bilion, iaitu peningkatan lebih 20 peratus berbanding RM800 juta tahun lalu. Saya yakin ia mampu dicapai kerana bottle neck (sekatan) syarikat sebelum ini adalah kapasiti pengeluaran yang tidak mencukupi.
Setelah naik taraf fasiliti pengeluaran makanan kami di Rawang siap tahun lalu, ditambah naik taraf pengeluaran makanan kucing yang dijangka selesai pada Jun ini, Adabi bersedia memenuhi permintaan pasaran yang tidak mampu dipenuhi sebelum ini, termasuk dari luar negara.
Adabi kini mengeluarkan lebih daripada 200 unit simpanan stok bukan hanya untuk pasaran tempatan, malah Indonesia, Brunei, Singapura, Hong Kong, United Kingdom, Vietnam, Thailand, Australia, Jepun dan China.
Apa aktiviti Adabi untuk Ramadan kali ini?
Adabi meneruskan aktiviti tanggungjawab sosial korporatnya dengan pemberian bubur lambuk secara percuma menerusi kerjasama rakan kongsi korporat. Kami menyasarkan agihan sebanyak 60,000 bungkusan bubur lambuk tahun ini.
Selain itu, kami turut menganjurkan aktiviti untuk penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta dengan memfokuskan kepada mereka yang tidak dapat pulang ke kampung, termasuk menyediakan menu bersahur dan sebagainya.