LONDON – Meskipun berdepan beberapa siri kekalahan, Anthony Joshua masih meletakkan dirinya sebagai petinju terbaik dunia menjelang penampilannya semula ke gelanggang pada minggu depan.
Petinju Britain berusia 33 tahun itu sah akan kembali beraksi apabila akan membuat pertarungan berdepan Jermaine Franklin dari Amerika Syarikat (AS) di Arena 02 London awal bulan depan.
Joshua ketika ini melakukan persiapan terbaik terutama memburu kemenangan pertamanya sejak tahun 2020 selepas kekalahan berturut-turut di tangan Oleksandr Usyk sekali gus gagal untuk mendapatkan semula beberapa gelaran heavyweight dunia.
Meskipun Joshua tidak lagi berada dalam kedudukan tiga teratas ranking WBA, WBO, WBC atau IBF, tetapi keyakinannya tetap utuh kerana mengakui dia berada sebaris bersama petinju heavyweight terbaik ketika ini.
“Usyk, Tyson Fury dan saya sendiri yang berada dalam senarai petinju terbaik ketika ini. Saya menilai kedudukan ranking. Saya berada dalam 10 terbaik untuk berapa lama? Kira-kira lapan tahun saya berada dalam kedudukan 10 teratas.
“Ia juga berkaitan dengan siapa yang anda temui. Kedudukan ranking adalah penting, tetapi anda juga perlu bertarung dengan nama-nama besar,” katanya.
Joe Joyce dan Daniel Dubois dari Britain mendahului Joshua dalam kedua-dua ranking WBO dan WBA. Ini bermakna, salah seorang daripada mereka layak untuk menentang Usyk. – AGENSI