VOJVODINA – Switzerland memulakan kempen kelayakan Euro 2024 dengan penuh bergaya apabila membelasah Belarus 5-0 dalam aksi Kumpulan I yang berlangsung di Stadium Karadorde awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, pemain sayap, Renato Steffen menampilkan aksi memukau apabila meledak tiga gol, manakala dua gol lagi hadir menerusi pemain tengah, Granit Xhaka serta pemain gantian, Zeki Amdouni.
Ketua Jurulatih Switzerland, Murat Yakin meluahkan rasa gembira selepas pemain-pemainnya berjaya memulakan aksi kelayakan dengan langkah kanan biarpun beraksi di gelanggang lawan.
“Kami bermain dengan penuh profesional meskipun pada awalnya Switzerland berdepan ancaman daripada Belarus. Saya gembira kerana fokus kami untuk menyerang dari bahagian sayap kanan dan kiri membuahkan hasil.
“Semua pemain menampilkan aksi cukup baik, termasuk pemain gantian. Saya gembira kerana Zeki Amdouni menyumbang satu gol meskipun bermula di bangku simpanan, dia menunjukkan aksi cukup meyakinkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji Steffen, lebih-lebih lagi tidak ada pemain Switzerland berjaya menjaringkan hatrik dalam perlawanan kompetitif untuk tempoh lebih 62 tahun.
“Dia (Steffen) berada di kedudukan tepat untuk menjaringkan gol sebanyak tiga kali. Walaupun perlawanan hari ini (semalam) banyak fokus di bahagian kiri padang, tetapi Steffen masih mampu untuk menjaringkan tiga gol,” ujar Yakin. – AGENSI