fbpx

Remaja salah guna vape boleh terjebak hisap dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.
FARID AHMAD TARMIJI, WARTAWAN EKSEKUTIF.

MASALAH penyalahgunaan dadah sehingga kini kekal menjadi musuh utama negara.

Walaupun pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh pelbagai pihak, masalah ini kelihatan seakan-akan tiada noktah penghujungnya.

Di sekeliling kita, pasti akan ada rakan-rakan atau saudara mara yang terlibat dengan pe­nyalahgunaan dadah.

Jika dahulu ada yang bermula dengan me­rokok sebelum berani mengambil dadah-dadah jenis lain sehingga menjadi penagih tegar.

Tetapi kini, vape yang disalah guna boleh menjadi salah satu pemula kepada remaja terutamanya untuk terlibat sama dengan masalah tersebut.

Setiausaha Agung Majlis Pe­nyalahgunaan Bahan Terlarang Malaysia (Masac), Raja Azizan Suhaimi Raja Abd. Latiff berkata, ada pihak-pihak tertentu yang mengeluarkan sesuatu bahan la­rangan untuk dicampur dengan bahan lain di dalam vape bagi memberikan kesan yang lebih ‘mari’ atau khayal kepada mereka yang mengambilnya.

Menurutnya, semua pihak harus sedar bahawa di Malaysia, lebih 800 New Psychoactive Substance (NPS) atau Substan Psikoaktif Baharu yang masih tidak diwartakan sebagai dadah.

“Jika remaja ambil vape, kita tidak tahu apa kandungan dalam cecair tersebut sama ada ia ada campuran NPS ini yang akan memberi kesan mengkhayalkan serta ketagihan.

“Ini yang membahayakan dan menakutkan kita semua. Tidak mustahil ada mereka yang akan mengambil bahan terlarang ini,” katanya.

Beliau memberitahu, pada tahun lalu dianggarkan lebih 10,000 belia terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Tetapi Raja Azizan Suhaimi menjangkakan jumlah itu akan bertambah pada tahun ini berdasarkan program yang mereka laksanakan.

“Kami mendapati begitu ramai remaja atau belia telah mengambil vape, malah kita tidak tahu apa kandungan campuran cecair di dalam vape yang mereka ambil itu.

“Kemungkinan untuk mereka mengambil bahan terlarang ini tetap ada kerana akan berlaku ‘perlencongan sosial’ sekiranya golo­ngan ini bergaul bebas de­ngan mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pakar Perun­ding Perubatan Keluarga Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Nur Amani Ahmad Tajuddin berkata, golongan kanak-kanak dan juga remaja dilihat lebih tertarik dan mudah untuk dipengaruhi menghisap vape.

“Semua pihak harus memainkan peranan dalam membantu kanak-kanak dan remaja agar mereka tidak terjebak dalam hal tersebut.

“Jika dibiarkan, generasi ini akan terus terlibat dengan vape yang dikhuatiri cecairnya akan dicampur dengan pelbagai bahan terlarang,” katanya.

Katanya, ini kerana, berdasarkan tinjauan dilakukan, generasi yang terlibat dengan vape ini juga terdorong untuk mencampurkan cecair perisa dengan bahan terlarang lain seperti ganja yang boleh menyebabkan ketagihan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI