PETALING JAYA – Setibanya waktu berbuka, pelbagai perkongsian gambar hidangan dimuat naik orang ramai di media sosial temasuklah yang kecewa dengan kualiti makanan yang dibeli di bazar Ramadan.
Menerusi perkongsian pengguna media sosial @jujuebaharum, dia membeli satu roti john ayam di salah satu bazar Ramadan popular di ibu negara, namun terkejut apabila kualitinya makanan tersebut dikatakan terlalu teruk.
Menurut pengguna tersebut, harga bagi satu roti john ayam itu bernilai RM10.
“Aku beli roti john dekat bazar Ramadan Bukit Bintang, RM10. Roti john ayam tapi tengoklah ayam dia, macam karipap inti oksigen, tapi syukur sahajalah apa yang ada,” perlinya.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen pelbagai reaksi diberikan orang ramai dan ada juga yang berkongsi pengalaman hampir sama.
“Aku pernah kena macam ini, jadi mama aku bebel suruh aku belajar buat roti john sendiri,” kata @knrl9999.
“Musim puasa ini memang ramai peniaga ‘bidan terjun’, sebab itu macam-macam rupa masakan peniaga di bazar Ramadan, asal boleh buat duit sahaja, rasa dan kualiti belakang cerita,” tegur @mrlmlk.
“Alahai, ayam dia macam terletak dalam roti, jimat sangat bahan peniaga, tapi harga boleh tahan mahal, RM10 untuk hasil macam itu,” tegur Amin. – KOSMO! ONLINE