BATU PAHAT – Seorang anak kapal yang mengalami serangan jantung berjaya diselamatkan selepas dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dekat sini malam semalam melalui Medical Evacuation (MEDIVAC) oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Maritim Batu Pahat.
Pengarahnya, Komander Maritim, Mohd. Haniff Mohd. Yunus berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.25 malam itu melibatkan seorang lelaki warga Filipina Abucejo, 53.
Ujarnya, mangsa yang bekerja di atas kapal Vangelis pada kedudukan 17 batu nautika Barat Daya Tanjung Tohor, Muar yang dalam pelayaran dari Nacala Anchorage, Mozambique menuju ke Pelabuhan Singapura.
Katanya, selepas menerima maklumat daripada pihak syarikat perkapalan berkenaan, sepasukan anggota dikejarkan menggunakan Bot Kilat 13 untuk memberikan bantuan menyelamat.
“Sebaik sampai ke lokasi kapal itu, anggota mendapati seorang anak kapal sedang dalam kesakitan dan perlu dikejarkan ke hospital dengan kadar segera.
“Bagaimana pun keadaan angin yang kuat serta gelombang menyebabkan kerja-kerja membawa mangsa tidak berjalan lancar dan hanya sampai ke jeti maritim Zon Batu Pahat,”katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Haniff lagi, pesakit berjaya dipindahkan dari bot penyelamat kira-kira pukul 11.40 malam dan dikejarkan ke HSNI untuk mendapatkan rawatan lanjut.-KOSMO! ONLINE