ALOR SETAR – Ramadan kali ini begitu menduga buat seorang warga emas dari Simpang Kuala di sini yang hanya mampu terbaring lemah akibat kanser payudara tahap empat yang dihidapinya sejak tahun lalu.
Tidak seperti Ramadan sebelum ini, Rahmah Jaafar, 74, masih sihat dan mampu berpuasa penuh, namun kini keadaan kesihatannya semakin memburuk kerana kerap diserang sawan.
Pada usia lanjut, Rahmah yang kematian suami sejak 20 tahun lalu itu hanya mampu melawan kesakitan akibat kanser itu dengan kudrat tidak seberapa.
Menurut anak tunggalnya, Zulkhibri Ayub, 35, tiada rawatan disyorkan untuk ibunya termasuk pembedahan dan kemoterapi atas faktor usia.
“Jadi sekarang mak hanya mampu melawan sendiri kesakitan itu. Kalau tak tahan sangat memang kena ambil ubat tahan sakit,” katanya ketika ditemui di rumah sewa mereka di Simpang Kuala di sini semalam.
Menurut buruh binaan itu, ibunya dikesan menghidap kanser pada Aidilfitri tahun lalu.
“Sebelum diserang kanser, mak sihat walaupun sudah berusia, tetapi sekarang hanya mampu mengesot.
“Saya bekerja di bandar Alor Setar dari pukul 9 pagi hingga 6 petang setiap hari. Waktu rehat saya pulang bawa makanan untuk mak,” ujarnya.
Katanya, mereka dahulu menyewa rumah di Anak Bukit dan ia jauh dari tempat kerja, menyebabkannya berpindah ke rumah sewa baharu yang lebih dekat, namun sewa agak mahal iaitu RM600 sebulan.
Sementara itu, Rahmah berkata, kadangkala dia tidak boleh tidur malam sebab rasa menyucuk dekat tempat kanser tersebut.
“Sedih memanglah, sebab semua berlaku sekelip mata sahaja.
“Tahun ini tak dapat nak puasa pun, hari pertama cuba juga, tetapi sehingga pukul 6 petang sahaja sebab diserang sawan. Anak pun tak bagi puasa,” katanya.
Mereka yang ingin menyumbang untuk membantu keluarga ini boleh berbuat demikian di akaun milik Bank Simpanan Nasional milik Rahmah Jaafar 0210041000215066.