PETALING JAYA – Seorang lelaki yang juga penghantar makanan disahkan maut selepas cedera parah akibat kemalangan menimpanya di Jalan Lapangan Terbang Subang, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya menerima laporan berkenaan kemalangan menimpa mangsa sekitar pukul 1.24 pagi.
Katanya, siasatan mendapati penunggang motosikal jenis Ex5 yang berusia 28 tahun itu cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada pukul 8 malam, Khamis lalu.
“Mangsa ketika itu sedang dalam perjalanan menghantar makanan dan telah terbabas dengan sendirinya.
“Mangsa yang mengalami cedera parah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 4.33 petang, semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Fakhrudin, siasatan diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi yang melihat kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
“Saksi juga boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704 bagi membantu siasatan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.