fbpx

PasRelief sasar bina 10,000 rumah kontena di Turkiye, Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi (dua dari kiri) bersama Abdul Hadi ketika menerima sumbangan daripada Kerajaan Negeri Terengganu pada majlis berbuka puasa di sebuah hotel semalam.

PETALING JAYA – PasRelief menyasarkan untuk menyumbang kira-kira 10,000 buah rumah kontena kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria dalam misi bantuan kemanusiaan akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut, pihaknya memerlukan dana kira-kira RM3 juta dan beliau berharap agar lebih banyak pihak tampil menghulurkan bantuan.

Jelasnya, setakat ini pihaknya telah menyumbang sebanyak 10 rumah kontena menerusi empat misi bantuan kemanusiaan yang dijalankan di negara berkenaan sejak lebih sebulan lalu.

“Kami akan terus menyumbang lagi rumah kontena secara berperingkat dalam masa terdekat ini memandangkan ia selesa untuk mangsa di sana kerana memiliki bilik air sekali dalam rumah itu.

“Memandangkan harga rumah kontena ini menelan kos RM30,000, kami menyasarkan dapat mengutip dana sebanyak RM3 juta untuk menyumbang 10,000 lagi rumah itu,” katanya selepas Majlis Berbuka Puasa Sempena Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria Bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di sebuah hotel di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, barisan tertinggi parti selain Menteri Besar dalam kalangan Pas serta Pengarah Sekretariatnya, Mohd. Yusni Matpiah.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, misi kemanusiaan kali kelima akan diteruskan pada Mei ini dengan kehadiran bersama Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.

Terdahulu, pada majlis sumbangan dana untuk mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria semalam, Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu telah menyumbang dana kira-kira RM745,650 iaitu merupakan sumbangan tertinggi semalam diikuti Kerajaan Negeri Terengganu sebanyak RM588,067.

Jelas Muhammad Sanusi, jumlah keseluruhan dana yang berjaya dikumpul semalam juga lebih RM1.5 juta.

“Saya mewakili pihak PasRelief mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang dana kepada misi seterusnya ini.

“Diharapkan lebih banyak pihak yang sudi tampil memberikan sumbangan selepas ini dan sekali gus dapat membantu PasRelief dalam menjayakan misi kemanusiaan di kedua-dua negara tersebut,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI