JOHOR BAHRU – Keadaan banjir di negeri ini dijangka akan pulih sepenuhnya dalam waktu terdekat apabila setakat pukul 8 pagi hari ini, hanya tinggal seramai 141 mangsa masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, jumlah mangsa banjir terkini itu terdiri daripada sejumlah 37 buah keluarga.
“Hanya daerah Batu Pahat kekal terjejas ketika ini dengan seramai 141 mangsa yang masih ditempatkan di dua PPS di daerah berkenaan ketika ini.
“Dua PPS yang masih beroperasi itu adalah PPS Sekolah Kebangsaan Seri Medan dan Dewan Orang Ramai Yong Peng,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE