PYONGYANG – Kim Ju-ae yang merupakan anak perempuan pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un, menjadi perhatian sejak dia mengunjungi salah satu tapak ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) bersama bapanya tahun lepas, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Ju-ae berkemungkinan seorang gadis yang suka bergaya selepas laporan media menyatakan bahawa dia memakai jaket mewah jenama fesyen Perancis, Christian Dior.
Gadis itu menghadiri satu lagi pelancaran peluru berpandu minggu lepas bersama bapanya. Dia dilihat memakai jaket hitam berlapis menerusi gambar yang dikeluarkan oleh media Korea Utara.
Media Korea Selatan dengan pantas menganalisis gambar tersebut. Saluran televisyen Chosun menyatakan bahawa jaket itu adalah produk asli yang dijual oleh Christian Dior kerana memiliki jahitan yang tersendiri.
“Jaket yang dipakai oleh anak perempuan Kim Jong-un, Kim Ju Ae semasa memerhatikan pelancaran ICBM pada 16 Mac lalu telah dianalisis sebagai produk jenama mewah Perancis Christian Dior,” kata penerbitan itu.
Jaket itu dijual pada harga AS$2,800 (RM12,398) di Amerika Syarikat, demikian menurut laman web rumah fesyen itu.
Disebabkan Korea Utara berada di bawah tekanan sekatan ekonomi dan jenama Christian Dior tidak terdapat di negara tersebut, adalah mengejutkan apabila Ju-Ae memakai jaket berjenama itu. – Agensi