PEKAN – Seorang suri rumah maut dipercayai akibat lemas apabila kereta yang dinaiki dipandu suaminya terbabas ke dalam sungai selepas melanggar seorang pejalan kaki di atas jambatan Kilometer 55 Jalan Nenasi-Rompin di sini hari ini.
Kejaian kira-kira pukul 9.30 pagi itu turut menyebabkan pejalan kaki warga Rohingya yang belum dikenalpasti identiti maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, semasa kejadian mangsa Nor Katijah Mamat,33, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan dalam perjalanan menaiki kereta dipandu suaminya dari arah Pekan ke Rompin.
“Apabila sampai di tempat kejadian pemandu kereta dipercayai mengantuk lalu terbabas ke kiri dan terlanggar pejalan kaki yg berada di tepi jalan.
“Kemudian pemandu kereta dipercayai memulas stering ke kanan lalu terbabas masuk ke dalam sungai,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya pejalan kaki maut di lokasi kejadian dan pemandu kereta berjaya menyelamatkan diri manakala penumpang kereta dihanyutkan arus sungai sebelum ditemukan.
Katanya, mayat mangsa yang maut dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.
Dalam pada itu beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saisatan giat dilakukan.
Katanya berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah atas jambatan satu lorong dua hala dengan garisan tengah berkembar. – KOSMO! ONLINE.