fbpx

Dijemput ajal ketika keluar beli tanah untuk tanam bunga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR kenangan Maimunah bersama empat anaknya dan cucu ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 2021.

PONTIAN – Hasrat seorang ibu tunggal untuk menghias rumah­nya dengan pelbagai jenis bunga-bungaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak kesampaian apabila dia terbunuh dalam kemalangan jalan raya kelmarin.

Dalam kejadian di Kilometer 78.6, Jalan Johor Bahru-Batu Pahat, di Kampung Parit Haji, Ayer Baloi kira-kira pukul 1.25 tengah hari itu, Maimunah Shaban, 61, yang menaiki Toyota Vios bersama anaknya,

Khairul Anas Mahmud, 25, dan cucunya, Danee Eryana Norafandi, 4, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.

Sementara, Khairul Anas yang juga seorang guru di Klang, Sela­ngor dan Danee Eryana ce­dera parah dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Norafidah Mahmud, 32, anak kepada Maimunah memberitahu, kejadian malang itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan ke bandar Pontian bagi membeli tanah untuk menanam bunga yang baharu.

KEADAAN Toyota Vios dan Hilux selepas terbabit kemalangan di KM78.6, Jalan Johor Bahru-Batu Pahat, Kampung Parit Haji, Ayer Baloi, Pontian.

Katanya, dia mendapat tahu mengenai kejadian tersebut daripada adiknya, Khairul Azim, 28, yang menghubungi Khairul Anas memaklumkan ibunya terlibat dalam kemalangan.

“Adik (Khairul Anas) pulang ke rumah ibu selepas habis kursus Robotik di Johor Bahru, manakala saya pulang untuk menyambut puasa bersama ibu tiga hari lalu dari Gelang Patah, Johor Bahru.

“Ibu sempat masakkan kami lauk ayam dan sayur kentang untuk kami enam beranak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Gantung, Sanglang, di sini, pagi semalam.

Tambah Norafidah, ibunya tinggal bersama dua adiknya Khairul Azmi, 28, dan Amar Kha­tib, 21, setelah bapanya, Mahmud Sadek meninggal dunia pada tahun 2013.

“Kali terakhir saya berjumpa ibu pada hari Sabtu minggu pertama pada bulan ini dan tidak menyangka kepulangan saya bersama adik (Khairul Anas) bagi menyambut bulan puasa, merupakan kali terakhir kami berjumpa ibu,” ujarnya.

Menurut Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib, kemala­ngan dipercayai berlaku apabila ­pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah Pontian menghala ke Batu Pahat hilang kawalan setibanya di laluan selekoh sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar Toyota Vios.

“Pemandu pacuan empat roda mengalami kecederan parah di bahagian badan dan tangan, manakala empat penumpang warga Indonesia mendapat rawatan di Hospital Pontian,” jelasnya.

Jenazah Maimunah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sanglang di sini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI