BIARPUN menjalani kehidupan moden, pengacara dan pelakon Ain Edruce tidak pernah lupa pesanan orang lama, apatah lagi melibatkan hal rumah tangga, kehamilan khususnya.
Ain atau nama sebenarnya Nurulain Edruce, 29, berpendapat, nasihat yang dikongsikan golongan terdahulu ada sebabnya dan perlu diikuti oleh generasi muda zaman ini.
“Saya banyak dengar cerita daripada orang tua kalau semasa awal kehamilan jangan terlampau teruja sangat sebab kandungan belum cukup kuat.
“Jika saya hamil, sudah tentu saya akan ikut nasihat sebegitu.
“Tetapi kalau mahu ajak saya bercakap tentang kehamilan, buat masa ini saya tak mahu cakap apa-apa lagi, saya minta semua orang doakan yang baik-baik. Sudah hampir setahun berkahwin, siapa yang tidak mahu anak,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo!.
Terdahulu, netizen mendakwa pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu sedang hamil selepas memuat naik video menerusi Instagram hingga menampakkan ‘baby bump’.
Dalam pada itu Ain turut mengulas mengenai video-video yang dikongsikan dalam Instagram telah mengundang kecaman daripada pengikutnya.
Tidak mahu terlalu lantang untuk memulangkan paku buah keras, Ain sebaliknya mengambil pendekatan, tunggu dan lihat.
“Sebenarnya saya senyum sahaja apabila baca komen-komen netizen. Tak tahu pula kenapa saya boleh tersenyum, mungkin sebab terharu. Mereka ada banyak masa untuk menghakimi saya.
“Bukan senang nak cari orang yang rajin luangkan masa untuk menulis tentang kita.
“Segelintir netizen pula ambil masa untuk taip komen dalam Instagram saya. Jadi, saya mahu berterima kasih untuk usaha mereka itu.
“Saya kena bersedia dengan kritikan sebab akaun sosial media saya boleh ditonton tanpa sekatan. Saya tidak boleh tutup mulut orang lain,” jelas Ain mempunyai karakter gila-gila, di tempat kerja mahupun di rumah.
Tambah Ain: “Saya hanya menari suka-suka dengan suami tetapi orang masih mahu mengkritik. Selagi mereka tidak dimaki atau dikutuk, netizen tidak akan berubah. Jadi, kita doakanlah yang terbaik agar mereka diberikan pedoman dan tahu menjaga perasaan orang lain.