PETALING JAYA – Seorang lelaki nekad ingin menceraikan isterinya sehari sebelum menyambut bulan puasa walaupun tidak disetujui dan diredai oleh wanita terbabit.
Menerusi perkongsian seorang Peguam Syarie, Mazidah Husain dalam hantaran di Facebooknya, suami tersebut tetap ingin bercerai pada hari tersebut sehingga sanggup melafazkan talak di luar mahkamah jika isterinya masih tidak bersetuju.
“Saya sudah mewakili berpuluh kes cerai dan menyaksikan beratus kes cerai di mahkamah, tetapi hari ini sebak sungguh. Kalau layan perasaan ini memang sedih sekali dengan anak guam ini.
“Sanggup si suami ceraikan isteri dengan anak kecil. Usia perkahwinan pun masih baru. Tiada cacat cela suami dan isteri walaupun hakikatnya kita tidak tahu kan. Suami pun nampak baik, boleh beri kerjasama untuk berbincang.
“Begitulah bila sudah tidak mahu teruskan perkahwinan. Kalau tak nak, mesti tiada usaha untuk membaik pulih perkahwinan kan. Saya dan anak guam tahu alasan nak ceraikan, tapi tidak nak sebut di sini sebab alasan itu dinafikan oleh suami,” tulisnya.
Tambahnya, anak guamnya juga bersetuju untuk merekodkan tuntutan mut’ah, nafkah iddah dan nafkah anak kerana tidak mahu bekas suaminya dipanggil untuk pendakwaan atas kesalahan lafaz cerai luar mahkamah.
“Selesai lafaz cerai depan hakim, keluar sahaja dewan anak guam saya berlari dan peluk ibunya. Bertambah beremosi saya jadinya bila melihat seorang ibu menangis kerana anak diceraikan.
“Sempat ibu itu meluahkan sedikit emosi marah kepada menantunya sambil cuba untuk ‘tepuk’ badan menantunya itu, tetapi dihalang. Moga anak guam saya ini cepat ‘move on’,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE