PARIS – Wanita transgender (mak nyah) tidak lagi dibenarkan bertanding dalam acara balapan dan padang wanita tanpa mengira tahap testosteron mereka, kata Presiden Olahraga Dunia, Sebastian Coe kelmarin yang menyatakan bahawa peraturan baharu itu diwujudkan demi keadilan.
Coe berkata, tiada atlet transgender yang telah melalui fasa akil baligh lelaki akan dibenarkan bertanding dalam pertandingan ranking dunia wanita bermula 31 Mac ini.
Bercakap selepas mesyuarat badan pembuat keputusan persekutuan trek dan padang global itu, Coe berkata, Olahraga Dunia telah berunding dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk 40 persekutuan kebangsaan, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dan kumpulan trans tentang isu atlet transgender.
“Majoriti mereka yang dirujuk menyatakan bahawa atlet transgender tidak sepatutnya bertanding dalam kategori wanita.
“Keputusan yang dibuat ini adalah demi kepentingan sukan,” katanya.
Coe berkata, satu kumpulan kerja diketuai oleh seorang wanita transgender akan diwujudkan untuk memantau perkembangan saintifik berhubung isu tersebut.
“Kami tidak mengatakan ‘tidak’ untuk selama-lamanya,” kata Coe lagi.
Keputusan Olahraga Dunia itu menyusuli langkah badan induk sukan renang, FINA yang melarang perenang transgender daripada bersaing dalam perlumbaan elit wanita.
Ragbi Dunia, pada tahun 2020, menjadi persekutuan sukan antarabangsa pertama melarang transgender bersaing di peringkat elit dan antarabangsa ragbi wanita.– Agensi