KOTA BHARU – Seorang lelaki terkejut melihat seekor ular sawa batik sepanjang dua meter berada dalam keadaan melingkar kekenyangan selepas membaham empat ekor burung buruh miliknya di dalam reban di Kampung Paloh Rambai di sini hari ini.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Bharu berkata, kejadian disedari pemilik haiwan itu yang berusia 32 tahun kira-kira pukul 8.15 pagi.
Menurutnya, lelaki itu pada awalnya pergi ke reban yang terletak di tepi rumah untuk mengambil telur burung puyuh.
“Dia terkejut melihat seekor ular sawa batik seberat lima kilogram berada di dalam reban yang menempatkan 11 ekor buruh puyuh. Pemeriksaan mendapati, empat ekor daripadanya sudah dibaham reptilia berkenaan.
“Lelaki itu terus menghubungi talian kecemasan sebelum seorang pegawai dan lima anggota APM tiba di kawasan rumah tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurutnya, anggota APM mengambil masa selama lima minit untuk menangkap ular itu.
Tambahnya, pemilik reban buruh puyuh itu memaklumkan bahawa ia merupakan kejadian pertama haiwan peliharaannya dibaham ular. – KOSMO! ONLINE