KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 6 November ini bagi mendengar kes saman fitnah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung dakwaan menggunakan kedudukan bagi mempengaruhi bekas Perdana Menteri itu untuk mencampuri urusan perbicaraan kes jenayahnya.
Perbicaraan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff selama empat hari sehingga 9 November ini.
Perkara itu dimaklumkan kepada wakil media oleh peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Dr. Mahathir selepas sesi pengurusan kes hari ini yang dijalankan di hadapan Timbalan Pendaftar Nor Afidah Idris.
Mahkamah turut menetapkan tarikh pengurusan kes selanjutnya sebelum perbicaraan iaitu pada 14 April ini.
Prosiding hari ini yang dijalankan secara Zoom, turut dihadiri peguam Intan Hanis Afiqah Razali yang mewakili Ahmad Zahid selaku plaintif.
Ahmad Zahid, 69, memfailkan saman fitnah terhadap Dr Mahathir, 98, pada 20 April 2022 atas dakwaan beliau difitnah pada Majlis Pelancaran Aspirasi Parti Pejuang (Pejuang) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 23 Februari 2022.
Kata Ahmad Zahid, Dr. Mahathir memfitnah bahawa beliau pernah hadir di rumahnya bersama beberapa individu lain bagi mendapatkan bantuan untuk menyelesaikan kes mahkamah yang dihadapinya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud bahawa beliau seorang yang menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan.
Kata Ahmad Zahid, ia juga bermaksud beliau menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi Dr. Mahathir bagi mencampuri urusan perbicaraan jenayah dan siasatan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan terhadapnya. – KOSMO! ONLINE