KUALA LUMPUR – Pelakon Puteri Sarah Liyana menepis tanggapan segelintir pihak yang mendakwa tindakannya untuk bercerai adalah ingin mendapatkan harta sepencarian dengan suaminya, Syamsul Yusof.
Katanya, sepanjang tempoh ini, dia bekerja keras dengan mengambil tawaran berlakon dan projek sampingan bagi mencari pendapatan sendiri untuk menyara dua permata hati.
“Anak-anak adalah keutamaan saya. Orang luar semua boleh nampak selama ini saya keras demi mereka. Ini pun saya tidak cukup tidur kerana habis kerja penggambaran lewat malam tadi.
“Jadi takkanlah saya nak menuntut cerai semata-mata kerana harta. Apabila dia (Syamsul) memfailkan nusyuz, saya pula terus menuntut hadanah iaitu hak penjagaan anak-anak.
“Saya tidak tuntut harta pun, sebaliknya cuma menuntut hak penjagaan anak semata-mata. Jadi anda boleh tahu apakah keutamaan dan perkara nombor satu dalam hidup saya ketika ini.
“Ini kerana anak-anak sentiasa dengan saya dan kami tidak pernah berenggang,” kata Puteri Sarah ketika ditemui di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), di sini, pagi tadi.
Pelakon itu hadir ke Jawi bagi menghadiri sesi Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) dengan suaminya, namun proses tersebut gagal menemui jalan penyelesaian.
Puteri Sarah ditemani adiknya, Puteri Sofea, manakala Syamsul pula membawa sepupunya bagi proses rundingan yang berjalan lebih dua jam itu.
Terdahulu pada 7 Mac lalu, mereka diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka selepas Syamsul enggan melafazkan talak.
Syamsul berkahwin dengan Puteri Sarah pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah. 4.
Pada 6 Januari 2023, anak kepada Datuk Yusof Haslam itu mengumumkan bernikah lagi satu dengan Ira Kazar di Thailand dan perkahwinan mereka didaftarkan di Malaysia pada 20 Januari 2023.
Sebelum itu, kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah menjadi perhatian ramai sejak pertengahan tahun lalu apabila aktres itu mendedahkan kehadiran ‘orang ketiga’ iaitu Ira. – KOSMO! ONLINE