fbpx

Hukuman berat belum tentu cegah pemandu mabuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
WAN HASNAN WAN HASAN PENGARANG KOSMO!/KOSMO! AHAD.

MULAI 23 Oktober lalu, kerajaan menguatkuasakan Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang mengenakan hukuman lebih berat terhadap pesalah jalan raya khususnya melibatkan Seksyen 41 hingga Seksyen 45.

Tujuan utamanya sudah pasti untuk melahirkan rasa gerun dalam kalangan orang ramai supaya lebih berhemah ketika memandu dan mematuhi peraturan lalu lintas.

Selepas ini, sebarang pemanduan secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kemalangan sama ada mengakibatkan kecederaan atau kematian pastinya bakal berdepan hukuman lebih berat.

Paling mencuri tumpuan ialah Seksyen 44 iaitu bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun, denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen bagi tempoh minimum 10 tahun, bagi sabitan pertama.

Pesalah juga berdepan hukuman penjara minimum 15 tahun atau maksimum 20 tahun, denda antara RM100,000 hingga RM150,000 dan hilang kelayakan lesen selama 20 tahun, bagi sabitan seterusnya.

Bagi kes menyebabkan kecederaan pula, pesalah berdepan hukuman penjara minimum 7 tahun atau maksimum 10 tahun, denda antara RM30,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen minimum tujuh tahun, bagi sabitan pertama.

Pesalah juga boleh dipenjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun, denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen selama 10 tahun, bagi sabitan seterusnya.

Persoalannya sekarang, mampukah pindaan akta ini untuk menghalang orang ramai yang mabuk atau di bawah pengaruh dadah daripada memandu?

Secara lojiknya, orang-orang yang sedang berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah sudah tentu tidak mampu untuk mengawal perbuatan dan tingkah laku mereka seperti mana orang-orang normal.

Jadi, adakah para pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang sedang mabuk atau lalok itu mampu untuk memikirkan tentang pindaan Akta Pengangkutan Jalan baharu itu, sekali gus menghalang mereka daripada memandu di jalan raya ketika itu?

Dalam keadaan mereka waras mungkin tidak menjadi masalah sebab ketika itu otak mereka mampu berfikir dan faham mengenai hukuman berat bakal menanti, tetapi bagaimana ketika mereka mabuk?

Percayalah, apabila sudah mabuk, mereka hanya akan mencapai kunci kenderaan dan tetap akan memandu seperti biasa kerana fikiran sudah melayang.

Bukan setakat memandu, orang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah ini akan terdedah untuk melakukan pelbagai perbuatan jenayah lain termasuk membunuh, merogol dan sebagainya.

Jadi kita semua sudah boleh membayangkan risiko dan malapetaka yang bakal berlaku apabila mereka yang mabuk ini sudah memegang stereng di jalan raya. Fikir-fikirkan lah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI