ATLET lontar peluru wanita negara, Nani Sahirah Maryata menceriakan kem Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) apabila mencipta rekod baharu kebangsaan dalam acara itu dengan catatan 14.69 meter (m).
Jarak itu membolehkannya memperbaharui catatan kebangsaan 14.46m ketika kali pertama menciptanya hujung tahun lepas sewaktu memadam rekod lama 14.41m milik Lee Chiew Har dilakukan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 1989.
Nani, 21, mencipta catatan itu ketika memenangi pingat emas Kejohanan Olahraga Filipina di City of Ilagan semalam yang jauh mengatasi pemenang tempat kedua dan ketiga pada kejohanan tersebut.
Pingat perak acara itu dimenangi Jamela de Asis dari University of Santo Thomas dengan catatan 12.50m, manakala tempat ketiga menjadi milik Aira Teodosio dari City of Ilagan menerusi jarak 12.36m.
Catatan terbaharu Nani menyaksikan atlet dari Kuantan, Pahang itu kini berada di landasan tepat untuk menaiki podium pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh yang akan berlangsung bermula 5 hingga 17 Mei depan.
“Saya gembira dengan kejayaan ini, memang tak jangka dapat lakukan (pecah rekod kebangsaan) di sini. Apapun saya masih ada masa lagi untuk perbaiki teknik balingan sebelum ke Sukan SEA.
“Ada peluang podium, tetapi saya agak berdebar sebab ini Sukan SEA pertama saya. Kita pun tak tahu apa akan jadi masa hari pertandingan, jadi saya fokus kepada diri sendiri dahulu,” kata Nani.
Turut cemerlang dalam pertandingan di luar negara adalah Nor Sarah Adi yang berjaya meraih pingat perak Kejohanan Antarabangsa Lompat Bergalah Dalam Dewan Taiwan kelmarin.