fbpx

25 tahun kembara Saujana, Zepp KL bergema ayat suci al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Konsert Saujana 25 Tahun menjadi penyatuan semula tujuh anggota asal kumpulan itu selepas ada antara anggota mereka bergerak solo.

SUASANA Zepp Kuala Lumpur berbeza tatkala kumpulan Saujana mengambil alih panggung gah itu dengan nuansa nasyid kontemporari. Bukan sekadar lagu nasyid, bahkan pentas yang lazim dengan irama pop turut bergema dengan bacaan ayat suci al-Quran.

Andai sebelum ini gelanggang tersebut didominasi penyanyi rock, pop, R&B dan tidak ketinggalan penghibur luar negara, kali ini nasyid kontemporari pula menguakkan sayap di situ.

Konsert Saujana 25 Tahun juga bukti dendangan tujuh anggota kumpulan yang bersatu atas pentas mega sebagai penanda genre nasyid tetap punya pendengar tegar daripada pelbagai lapisan usia.

Luangan azan menjadi pembuka kepada persembahan Suffian Amrin, Azalinor Abdul Rahman dan Ahmad Zuhaidi Abd. Aziz; manakala empat ahli asal yang lain ialah Dr. Khairul Idzwan, Dr. Faizul Hizal Ghazali, Mohd. Hakimi Harun dan Wan Najran Wan Noh.

Menyingkap pengembaraan lebih dua dekad penubuhan Saujana dengan akhirnya hanya tiga ahli yang tinggal, penyatuan kali ini cukup bersejarah bukan hanya kepada mereka, bahkan peminat.

Lebih istimewa konsert berdurasi lebih dua jam tersebut turut diiringi Orkestra Tradisional Malaysia dan penyanyi latar kumpulan Andika yang semakin menyuntik emosi melankolik.

SAUJANA menyampaikan hampir 30 dendangan lagu popular malar segar yang mengundang nostalgia peminat.

Dalam banyak lagu dendangan Saujana, yang paling menonjol adalah lagu Sepohon Kayu yang dijadikan lagu penutup tirai persembahan.

Turut mengisi repertoire konsert termasuklah Suci Sekeping Hati, Rahmat Kasih Mu, Jendela Hati, Bulan Bintang, Sendiri, Saujana, Patah Hati, Penerang Hati dan Keluarga Bahagia.

Duduk dibangku tidak mengehadkan penghayatan penonton menikmati setiap seleksi malar segar yang sarat mesej kemanusiaan dan kasih sayang sesama insan.

Malah selain menyampaikan lagu popular mereka, Saujana turut mengundang rakan seperjuangan termasuk kumpulan NowSeeHeart menerusi lagu Damai Yang Hilang.

Sewaktu lagu berkenaan didendangkan turut dipaparkan video memperlihatkan sukarelawan Islamic Relief Malaysia melakukan kerja kebajikan di luar negara.

Sebagai jurucakap Saujana, Suffian memaklumkan setiap RM15 hasil daripada jualan tiket konsert akan disumbangkan kepada pertubuhan tersebut.

Selain NowSeeHeart, Saujana yang mengambil masa selama dua bulan untuk persiapan konsert tersebut turut mengundang vokalis nasyid ikonik, Nazrey Johani untuk berduet menerusi lagu Antara Dua Cinta.

SAUJANA turut mengundang vokalis nasyid popular, Nazrey Johani dan kumpulan NowSeeHeart menyerikan pentas Zepp KL pada konsert tempoh hari.

Nazrey yang juga bekas anggota kumpulan Raihan itu turut mendendangkan lagu yang sinonim dengan penampilannya sebagai penyanyi nasyid iaitu lagu Iman Mutiara dan Sesungguhnya.

Satu kelainan yang ditonjolkan pada konsert Saujana adalah setiap kali ada pertukaran keluar masuk artis, penonton akan disajikan dengan tayangan video yang memaparkan bacaan penting dalam solat.

Tidak ketinggalan mereka turut menyelitkan segmen motivasi yang menonjolkan Dr. Khairul Idzwan Baharin atau mesra dengan panggilan Dr. Idzu ketika mendendangkan lagu Ku Serah.

Berani bereksperimentasi, Dr. Idzu mengenakan persalinan yang diibaratkan segelintir penonton seperti penyanyi Aina Abdul.

Pada segmen tersebut, penyanyi yang mengambil keputusan bergerak solo itu mendedikasikan dendangan ciptaan bersama Yuka Kharisma kepada arwah ibu bapanya.

Penghargaan juga dizahirkan buat karyawan yang turut berjasa kepada kumpulan berkenaan termasuk Allahyarham Loloq dan Allahyarham Mujahid Abd. Wahab.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI