PORTIMAO – Pelumba pasukan CryptoData Aprilia RNF, Miguel Oliveira mengakui masih lagi berada dalam fasa menyesuaikan dengan jentera baharu menjelang aksi pembuka tirai MotoGP pada Grand Prix (GP) Portugal, Ahad ini.
Sebagai rekod, Oliveira yang telah bersama pasukan Red Bull KTM pada saingan MotoGP musim 2019 mengambil keputusan untuk mencuba ‘angin baharu’ apabila menyertai pasukan dari Malaysia, RNF.
Menurut Oliveira, jentera yang dibekalkan oleh Aprilia dilihat cukup berkualiti dan tidak mustahil boleh memberikan cabaran sengit kepada pasukan pesaing khususnya Ducati yang merupakan juara bertahan tahun lalu.
“Selepas melalui beberapa siri ujian pramusim sebelum ini, saya lihat jentera Aprilia cukup berbeza dengan apa yang pernah saya tunggang bersama KTM sejak empat tahun lalu. Namun, hasrat untuk mencabar Ducati saya anggap masih terlalu awal.
“Ini kerana buat masa ini Ducati sememangnya berada dalam kelas yang berlainan kerana mereka boleh melalui selekoh tajam dengan sempurna dan tidak mempunyai masalah untuk memecut laju di jalan yang lurus.
“Cuma, kita tunggu dan lihat apabila perlumbaan sebenar bermula nanti, tetapi harus saya akui buat masa ini saya masih lagi dalam fasa menyesuaikan diri dengan jentera Aprilia, sekali gus tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk meraih keputusan luar biasa.
“Banyak lagi perkara yang perlu saya fahami dengan keadaan jentera ini memandangkan saya tidak boleh terlalu agresif. Apa yang penting saya perlu bersedia secara mental dan fizikal untuk mengharungi sebarang kemungkinan,” katanya. – AGENSI