BACHOK – Seorang kanak-kanak ditemui lemas selepas dipercayai tergelincir ketika sedang bermain bersama dua rakannya tali air Chabang Lima di Kampung Seneng dekat Jelawat di sini hari ini.
Mayat Mohd. Danish Aidil Mohd. Hasrul, 6, dijumpai oleh seorang penduduk kampung ketika melalui kawasan berkenaan.
Mangsa dipercayai bersama dua rakannya pergi ke tali air yang terletak sejauh 200 meter dari rumahnya kira- kira pukul 2.30 petang.
Bapa mangsa, Mohd. Hasrul Hassan,34, berkata, dia menyedari kejadian menimpa anak sulungnya itu selepas dihubungi isteri kira-kira pukul 2.45 petang.
“Ketika itu, saya berada di kedai mencuci kereta di Kampung Teratak Pulai dan terus bergegas pulang sebaik menerima berita itu.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, saya melihat anak saya didukung oleh seorang penduduk dan keadaannya sangat lemah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Klinik Kesihatan Gunung di sini hari ini.
Menurut Mohd. Hasrul, bagaimanapun doktor mengesahkan anaknya itu telah meninggal dunia kira-kira pukul 4 petang.
Katanya yang juga Pemangku Pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Bachok, Mohd. Danish Aidil tidak pernah pergi ke tali air itu selain amat patuh dengan pesanannya mengenai bahaya bermain di kawasan itu.
Tambahnya, sewaktu kejadian, paras air dalam tali air itu melebihi satu meter.
Sementata itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Samsulmuddin Sulaiman, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.-K!ONLINE