BANGKOK – Gara-gara berang diarah menjimatkan penggunaan air, seorang lelaki di wilayah Mae Hong Sorn, Thailand menikam isterinya hingga mati, lapor laman berita Thaiger semalam.
Menurut laporam, si isteri meminta suaminya menjimatkan penggunaan air kerana musim kemarau akan tiba. Namun, si suami yang berasa marah mendengar nasihat tersebut bertindak menikam mangsa sebelum dia melarikan diri ke dalam hutan.
Anggota polis dan penduduk tempatan kemudian memburu suspek selepas pihak berkuasa dimaklumkan mengenai kejadian pembunuhan itu pada kira-kira pukul 10.30 pagi (waktu tempatan), kelmarin.
Apabila tiba di lokasi kejadian, anggota polis menemui mayat seorang wanita berusia 55 tahun bernama Seo Wu, di luar pintu hadapan rumah. Dia didapati telah ditikam beberapa kali pada paha kanan dan kehilangan banyak darah.
Selepas menyoal jiran, polis mendapati suspek merupakan suami mangsa sendiri, Jingfei Saeliw.
Sebelum serangan itu berlaku, pasangan berkenaan dikatakan bertengkar mengenai penggunaan air kerana mangsa meminta suaminya berhenti menyiram tanaman. Wanita itu bimbang bekalan air mungkin tidak akan mencukupi untuk keperluan mereka semasa musim kemarau yang akan datang. – Agensi