PETALING JAYA – Hubungan baik antara pelakon Sharnaaz Ahmad dengan bekas isterinya, Noor Nabila Mohd. Noor biarpun sudah hampir tiga tahun berpisah dijadikan contoh buat netizen.
Rata-ratanya memuji sikap budiman Sharnaaz, 38, yang mengenepikan ego dan kisah lampau dalam rumah tangga mereka sebelum ini demi anak tunggal tersayang, Jebat Jayden Ahmad.
Perkara tersebut menjadi perbualan netizen selepas tular sebuah video TikTok memaparkan Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad bersama Nabila, 39, membuat video ulasan produk kambing perap bersama Jebat.
Dalam video berdurasi dua minit 50 saat tersebut, keakraban dan hubungan baik dipaparkan Sharnaaz dengan Nabila di hadapan anak mereka menuai pujian ramai yang melabelkan mereka sebagai ibu bapa terbaik.
“Mereka mungkin gagal jadi suami isteri. Tetapi mereka dah buktikan tak gagal didik anak, alhamdulillah,” tulis seorang pengguna TikTok.
Malah disebabkan hubungan baik antara mereka, ada netizen mendoakan agar jodoh antara Sharnaaz dan bekas isterinya itu kembali bertaut.
“Dari awal video sampailah habis, senyum saja aku (melihatnya). Harap-harap yang terbaik buat Sharnaaz dan Nabila,” komen seorang pengguna.
Sejak berpisah dengan Nabila, Sharnaaz tidak pernah gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai bapa dengan baik terhadap Jebat dengan kerap meluangkan masa bersama-sama.
Bahkan ketika anak tunggal kesayangannya itu menunaikan ibadah umrah bersama Nabila sekitar bulan lalu, pelakon filem Jebat berkenaan turut hadir di lapangan terbang menghantar mereka berangkat ke Tanah Suci.
Untuk rekod, Sharnaaz berkahwin dengan Nabila pada 31 Mac 2017, namun jodoh mereka tidak panjang apabila sah bercerai pada 9 Julai 2020 secara hakam di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.
Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden Ahmad yang kini berusia lima tahun. – KOSMO! ONLINE