KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,060 kes di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] telah dihadapkan ke mahkamah bermula 2018 hingga Januari lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, dalam masa sama, sebanyak 5,519 kes telah dilaporkan sepanjang tempoh tersebut dengan 4,713 kes atau 85.4 peratus telah diselesaikan.
Menurutnya, kerajaan sentiasa komited dalam membanteras kes-kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dan penggubalan Akta 792 adalah suatu langkah sangat baik dalam membantu pihak polis menjalankan siasatan dan pihak pendakwaan dalam merangka pertuduhan.
“Berbanding dengan undang-undang jenayah am yang terpakai kepada orang dewasa seperti Kanun Keseksaan dan undang-undang lain yang berkaitan.
“Ini kerana sering kali kes kesalahan-kesalahan seksual melibatkan mangsa kanak-kanak ini akan mempunyai ciri-ciri kes unik, yang tiada di dalam kes-kes melibatkan orang dewasa. Justeru, peruntukan di dalam Akta 792 dapat memberikan perlindungan lebih jitu dan menyeluruh kepada kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat, hari ini menjawab pertanyaan Young Syefura Othman (PH-Bentong) berhubung kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak telah dilaporkan, didakwa dan diselesaikan sejak Akta Kesalahan-Kesalahan Terhadap Kanak-Kanak 2017 dikuatkuasakan.
Azalina berkata, selain itu, peruntukan-peruntukan berhubung anggapan keupayaan dan keterangan saksi kanak-kanak di bawah Seksyen 17 dan Seksyen 18 Akta 792 juga banyak membantu pihak pendakwa raya memperoleh sabitan atas suatu pertuduhan di bawah Akta 792 tersebut. – KOSMO! ONLINE